Labur Duit di Mana?

Blog yang membincangkan mengenai tips dan maklumat pengurusan kewangan melibatkan pelaburan dalam unit amanah PMB, insurans serta isu semasa.

Monday, 8 July 2019

Skim Cepat Kaya : Jangan Terpedaya


Pernah menjadi mangsa penipuan skim cepat kaya, saya belajar daripada kebodohan sendiri. Pengalaman mengajar saya menjadi lebih bijak, namun harga yang perlu dibayar adalah amat tinggi. Oleh sebab itu saya menyeru agar anda tidak mudah percaya dengan penipuan skim cepat kaya, jangan terpedaya.

Apa Itu Skim Cepat Kaya?


Sebelum bercerita panjang, mari kita lihat definisi skim cepat kaya terlebih dahulu. Skim cepat kaya merupakan suatu aktiviti skim pengambilan deposit secara haram tanpa lesen yang sah di bawah akta dan institusi kewangan (ABIK) 1989. Ia merupakan proses yang tidak sah dan boleh di dakwa jika ditangkap oleh pihak berkuasa.


Jika dulu kita dikenalkan dengan nama Luxor, Pok Din Empire, Tok Berlagak, ARBA, Highway Group, Monspace, Pak Man Telo, Swiss Cash dan macam-macam lagi, namun semua itu adalah istilah bagi penipuan skim cepat kaya. Subjek pelaburan mungkin berbeza namun modus operandi tetap sama iaitu untuk menggelapkan wang. 

Skim Cepat Kaya : Jangan Terpedaya

Jika diteliti secara kasar, keuntungan yang diterima hasil pelaburan skim cepat kaya memang tidak masuk akal dan mustahil diperoleh dalam masa singkat namun mengapa masih ada mangsa yang terpedaya dengan skim ini? Adakah mereka tidak mengambil pengajaran daripada mangsa sebelumnya dan tidak belajar modus operandi yang dilakukan oleh si penipu skim cepat kaya? 


Tetapi jika difikirkan secara halus, anda pasti terkejut betapa liciknya golongan ini menjalankan modus operandinya sehingga golongan bijak pandai juga boleh tertipu dan terpedaya dengan penipuan skim cepat kaya. Malah pulangan tidak masuk akal yang dijanjikan juga akan diterima oleh pelabur pada awal tempoh pelaburan demi untuk menambah lebih ramai pelabur menyertai skim mereka.

Modus Operandi Skim Cepat Kaya


Ini adalah contoh bagaimana golongan penipu skim cepat kaya memperdaya mangsa mereka di bawah topik pelaburan wang untuk menggandakan keuntungan. Mari kita lihat :


Untuk mendapatkan kepercayaan bakal pelabur, para penipu skim cepat kaya biasanya akan melabur wang mereka terlebih dahulu sebelum mula mengajak pelabur menyertai skim mereka. Mereka membeli pangkat dan gelaran dengan jalan yang salah, serta menggunakan kenderaan mewah bahkan rumah besar bagi mengaburi mata pelabur. Malah jangan terkejut jika anda mendengar golongan diraja dan berpangkat datuk juga merupakan antara dalang bagi skim cepat kaya ini.


Golongan ini akan mula mencari pelabur untuk melabur dalam suatu subjek pelaburan mereka yang dipercayai boleh mengembalikan keuntungan dalam masa yang cepat dan tinggi. Subjek pelaburan tersebut biasanya adalah sesuatu yang mahal dan berharga dalam pasaran seperti emas, lebuhraya dan tanah. Para pelabur akan disilaukan dengan kejayaan para penipu skim dengan menunjukkan kenderaan yang dipakai, rumah dimiliki serta gelaran yang diperolehi.

Skim Cepat Kaya : Jangan Terpedaya

Pada awal tempoh pelaburan, kebiasaannya pelabur yang terpedaya akan melabur sedikit wang untuk melihat hasil pulangan dan sekiranya mendapat keuntungan tinggi, mereka akan mula menggandakan wang pelaburan. Itulah sebabnya mengapa golongan penipu skim cepat kaya akan memberi keuntungan tinggi kepada pelabur pada awal skim diperkenalkan.


Apabila nama skim telah dikenali dan pelabur mendapat keuntungan seperti dijanjikan, maka proses merekrut agen pula dilakukan bertujuan untuk menggandakan jumlah pelabur. Agen yang dipilih pula adalah di kalangan pelabur yang tidak tahu mereka bakal ditipu tidak lama lagi.


Menjadikan diri sendiri sebagai testimoni dan telah menerima banyak keuntungan, saudara mara dan sahabat handai akan mula tertarik untuk turut sama melabur. Bagi pelabur lama pula, wang keuntungan yang diperolehi sebelum ini tidak dikeluarkan, dibiar terus dalam skim pelaburan demi untuk melipat gandakan lagi keuntungan supaya semakin bertambah banyak.


Nah, di sinilah para penipu skim cepat kaya akan mula menggelapkan wang yang telah diserahkan kepada mereka. Apa lagi yang ditunggu? Wang pelabur awal telah dipegang oleh mereka dan wang pelabur baru turut diterima, jadi mereka akan mula menghilangkan diri dan lesap. Maka para pelabur hanya berputih mata.

Kesan Penipuan Skim Cepat Kaya


Apa yang lagi menyedihkan adalah agen yang mengutip wang akan dipersalahkan. Sudahlah wang sendiri hilang, terpaksa pula membayar wang pelabur yang telah dikutip untuk diserahkan kepada si penipu skim cepat kaya. Paling teruk, suami isteri boleh jadi bercerai berai dan hilang kewarasan diri akibat menanggung tekanan wang dilarikan.


Pernah juga saya mendengar cerita, pistol dihalakan oleh si pelabur ke kepala agen kerana menuntut balik wang yang hilang. Selain membuat laporan polis, tiada apa lagi yang boleh dilakukan selain berdoa agar suatu hari nanti wang yang hilang akan dikembalikan. Tapi akan kembali kah wang tersebut? Wallahualam..


Jadi, apa kata anda? Jangan terpedaya dengan skim cepat kaya..

No comments:

Post a Comment